widgeo.net

Sejarah



    Sekolah ini mula dibuka pada 21 April 1951. Pada mulanya sekolah ini dikenali sebagai Sekolah Rakyat Pauh. Peringkat awal dibuka, sekolah dikendalikan oleh dua orang guru untuk 83 orang murid. Murid sekolah datang dari tiga buah kampung berdekatan iaitu Kampung Pauh, Kampung Temir dan kampung Tanjung Bharu.

Dua orang guru pertama (pengasas) sekolah ini ialah:


  • En. Abdul Latif bin Ngah
    Berasal dari Kampung Dusun, Hulu Terengganu. Mula berkhidmat di Sekolah Rakyat Pauh pada 1951 iaitu bermulanya pembukaan sekolah. Bertugas di sekolah bersama Cikgu Sulong bin Abdul Rahman. Cikgu Abdul Latif berkhidmat sebagai guru setelah tamat darjah enam. Beliau berkhidmat di sekolah ini selama enam tahun. 

    Selepas itu beliau ditukarkan ke beberapa sekolah lain dalam Daerah Hulu Terengganu. Disamping bertugas sebagai guru, beliau juga sempat meningkatkan tahap pendidikan beliau dengan lulus dalam peperiksaan SPM. Sekolah terakhir beliau ialah SK Peroh dan meninggal dunia sebelum mencapai umur persaraan.



  • En. Sulong bin Abdul Rahman
    Menjadi pengasas Sekolah Rakyat Pauh bersama Cikgu Abdul Latif bin Ngah. Beliau merupakan anak jati Kampung Pauh. Beliau menjadi guru pada tahun 1951 setelah tamat belajar darjah lima. Setelah mengajar di sekolah ini selama dua tahun, beliau ditukarkan ke SK Lerek dan kemudiannya meneruskan khidmat di beberapa buah sekolah di Daerah Hulu Terengganu. 

   Disamping bertugas sebagai guru, beliau terus meningkatkan pencapaian akademik dengan lulus dalam peperiksaan SPM pada tahun 1969. Setelah lulus SPM , beliau telah ditugaskan ke jawatan yang lebih tinggi seperti Penyelia Petang, GPK Kokurikulum dan Guru Besar. Perkhidmatan terakhir beliau adalah Penolong Pegawai Pelajaran di Pejabat Pelajaran Daerah Hulu Terengganu dan bersara pada Disember 1992.


    Bangunan sekolah yang pertama dibina secara gotong royong iaitu sebuah bangsal beratap rumbia berdinding buluh yang dijadikan pelupuh. Bangku diperbuat daripada papan manakala tempat duduk dibuat daripada batang pinang. Sekolah dibuka awal oleh Pegawai Daerah Hulu Terengganu pada masa itu, Dato' Embong. Pada tahun 1953 sebuah lagi bangunan kayu berukuran 110 kaki x 22 kaki dibina dan bilangan murid bertambah menjadi 128 orang.


   Pada tahun 1954 bilangan guru semakin bertambah menjadi 4 orang sementara bilangan murid pula berjumlah 154 orang. Pada 25 April 1954, sekolah ini dibuka dengan rasminya oleh Yang Berbahagia Dato' Perwira Negara, Nazir Sekolah-Sekolah Melayu Terengganu. Pada tahun 1959 sekolah telah ditukar nama kepada Sekolah Umum Pauh dan kemudiannya dikenali sebagai Sekolah Kebangsaan Pauh mulai tahun 1960.


    Tahun 1978, sekolah mendapat bangunan blok dua tingkat yang terdiri dari lima bilik darjah. Pejabat, bilik Guru Besar dan bilik guru dikongsi dalam satu bilik. Pada 1985 sebuah bangunan kantin dibina dan diubah suai juga kepada satu bilik darjah. Pada tahun 1987 sebuah surau dibina dengan kerjasama PIBG sekolah. Tahun 2004 bangunan 2 blok empat tingkat dibina seperti yang ada pada hari ini.


























Read more...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...